Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Segala puji-pujian bagi Allah S.W.T, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi
Muhammad S.A.W. dan keluarga serta para sahabat baginda, seterusnya ke atas sekalian
tabi’in dan ulama sepanjang zaman.
Kami merafakkan setinggi kesyukuran dan penuh kepujian kepada Allah S.W.T dengan
nikmat, rahmat dan izin-Nya, kerana telah mengizinkan kami untuk merancang dan
mengusahakan pembinaan pembangunan Masjid Lestari Perdana ini.
Hasrat untuk membina Masjid Lestari Perdana bukan datang secara tiba-tiba tetapi telah
lahir bertahun-tahun sebelum ini daripada sekumpulan jemaah Lestari Perdana, Seri
Kembangan yang memikirkan peri pentingnya sebuah masjid untuk komuniti Islam di
kawasan ini.
Alhamdulillah, niat untuk memuliakan kehadiran rumah Allah dipermudahkan urusannya
dan menerusi Jawatankuasa Pembangunan Masjid yang ditubuhkan, pertemuan dan
mesyuarat dapat diaturkan bersama Majlis Agama Islam Selangor, Jabatan Agama Islam
Selangor, Perbadanan Wakaf Selangor serta pelbagai pihak berwajib yang terlibat.
Sukacita dimaklumkan bahawa pihak Jawatankuasa Pembangunan Masjid Lestari
Perdana telahpun mendapat kebenaran daripada JAIS menerusi surat bertarikh 12
November 2018 untuk membina sebuah masjid tetap di atas kawasan rezab Masjid Lestari
Perdana.
Bagi menggerakkan pembinaan berkenaan, pihak Jawatankuasa Pembangunan Masjid
Lestari Perdana memerlukan dana sebanyak kira-kira RM16 juta untuk membolehkan
masjid yang boleh menampung kira-kira 1,500 jemah dapat didirikan.
Justeru itu, kerjasama serta sokongan daripada semua pihak untuk menjayakan
pembinaan Masjid Lestari Perdana adalah amat dihargai dan semoga menjadi amal soleh
yang mendapat ganjaran Allah SWT di dunia dan di akhirat.
Sekian, Terima Kasih
Tuan Haji Ferry Efendy Laho